Evolusi kapal perang Kapal_perang

sebuah trireme Yunani

Kapal perang mempunyai sejarah yang panjang. Bermula apabila manusia mampu menerokai lautan untuk tujuan kegiatan perikanan, diikuti dengan aktiviti perdagangan dan akhirnya membawa kepada perluasan kuasa di seberang laut, memerlukan penubuhan angkatan laut dan kapal-kapal perangnya. Ini semua bagi melindungi rakyat dan ekonomi negara tersebut.

Era ghali

Pertempuran Lepanto, 1571, diantara Uthmaniyyah dan kuasa-kuasa Kristian masih menggunakan ghali

Ketika zaman ketamadunan Yunani, Empayar Parsi dan Empayar Rom, jenis kapal perang yang wujud ialah ghali (English: galley). Ia berbentuk tirus dan digerakkan menggunakan dayung. Terdapat tiga jenis ghali yang digunakan di era Yunani dan Rom, iaitu bireme, trireme dan quinquereme. bireme mempunyai dua tingkat pendayung, trireme, tiga tingkat dan quinquereme mempunyai empat. Ghali-ghali jenis ini biasanya hanya mempunyai satu tiang layar empat segi untuk pelayaran menggunakan kuasa angin. Di kala pertempuran tiang layar boleh ditanggalkan dan disimpan. Taktik yang biasa digunakan ialah merempuh kapal-kapal lawan untuk meneggelamkannya. Laskar-laskar yang berada diatas kapal juga boleh menyerbu kapal musuh yang dirapati. Taktik ini digunakan sehinggalah perkembangan penciptaan manjanik pada kurun keempat sebelum masihi membolehkan pertempuran dilakukan dari jarak jauh. Sekitar 900 Masihi Empayar Rom Timur atau Bizantin telah menggunakan sejenis ghali yang dikenali sebagai dromon. Dromon masih bergantung pada kuasa pendayung tetapi juga dilengkapi tiga layar tiga segi. Ia juga dilengkapi Greek Fire atau "Api Yunani", senjata pelontar api yang menggerunkan. Ghali masih digunakan sehingga Zaman Pertengahan, dan nama ghali diguna untuk kapal-kapal yang masih menggunakan kuasa dayung. Ketika era ini manjanik telah diganti dengan berbagai jenis meriam dan mortar

Era layar

Rencana utama: Zaman layar
Pertempuran Trafalgar

Pada kurun ke 14 senjata kapal perang mula mengalami peningkatan dengan penciptaan meriam. Disebabkan keperluan memuatkan meriam di sisi kapal dan saiz kapal yang semakin besar, beransur-ansur, tenaga pendayung tidak digunakan dengan berkesan lagi. Kapal-kapal pada zaman ini bergantung kepada kuasa angin dari layar untuk menggerakkannya. Bermula dengan geliung (English:galleon) pada kurun ke 16 dan berubah ke rekaan ship of the line yang lebih stabil untuk penjelajahan lautan dan aturan meriam. Nama kapal perang layar (ship of the line ataupun lengkapnya ship of the line of battle) diguna kerana zaman ini menyaksikan kapal-kapal bertempur dalam taktik barisan panjang dari haluan ke buritan yang dipanggil baris tempur (line of battle) supaya sebanyak mungkin meriam di sisi dapat digunakan. Nama ini akhirnya diringkaskan menjadi battleship iaitu yang kita kenali sebagai kapal tempur kini. Taktik merapati dan menyerbu kapal musuh juga banyak digunakan terutama setelah kapal musuh hampir lumpuh. Era ini juga berlaku pertempuran-pertempuran yang masyhur seperti Pertempuran Sungai Nil, Pertempuran Cape St Vincent dan Pertempuran Trafalgar. Tentera Laut Diraja British telah mencipta pengkelasan kapal-kapal perang pada pertengahan abad ke 17 dan membahagikan kepada tujuh kategori (first rate, second rate, third rate, fourth rate, fifth rate, sixth rate, unrated)mengikut bilangan meriam yang dibawa.

Jenis-jenis kapal perang yang terdapat ketika era layar adalah:-

Kapal First Rate HMS Victory 1884. Kapal ini masih dipelihara dan boleh dilawati di Portsmouth, England
  • Ship of the line of Battle/Ship of the Line
    • First rate-100 meriam atau lebih pada 3 tingkat dek
    • Second rate-90 ke 98 meriam pada 3 dek
    • Third rate-64 ke 80 meriam (lazimnya 74 meriam) dengan dua dek
    • Fourth rate-46 ke 60 meriam dengan dua dek meriam
  • Frigate
    • Fifth rate-32 ke 44 meriam pada dua dek
    • Sixth rate-20 ke 28 meriam, kadangkala dipanggil corvette atau frigate kecil
  • Sloop
    • (unrated) -sehingga 18 meriam

Era kuasa wap

Kurun ke 19 menyaksikan terciptanya enjin kuasa wap dan propulsi atau pendorongan kapal mengalami revolusi sekali lagi. Penciptaan besi keluli juga memungkinkan kapal-kapal perang dilengkapi perisai tebal. Keperluan ini timbul akibat kapal era ini memuatkan meriam yang lebih moden dan berkuasa yang menembak peluru letupan tinggi. Era ini bermula dengan pelancaran La Gloire oleh Perancis yang masih mengekalkan rekabentuk era layar tetapi dilapisi perisai waja dan mempunyai enjin kuasa wap. Secara beransur-ansur ship of the line dan frigate diganti dengan kapal tempur dan penjajap (English: cruiser) berkuasa wap. Dan, buat pertama kali meriam dimuatkan dalam turet atau perumah yang boleh berputar. Berlaku pula Pertempuran di Hampton Roads diantara tentera laut Union dan Confederate pada 1862 melibatkan kapal berperisai kedua belah pihak. Dengan penciptaan torpedo pada akhir kurun tersebut membolehkan bot-bot torpedo dihasilkan, satu konsep baru ketika itu. Bot torpedo bukan sahaja laju malahan juga murah dan menawarkan alternatif kepada pembinaan kapal tempur yang mahal.

Model kapal berperisai Perancis La Gloire

Era Dreadnought

Kapal tempur bermeriam besar HMS Dreadnought yang digerakkan oleh turbin stim
Rencana utama: Dreadnought

Era ini bukan hanya kesinambungan dari era sebelumnya, tetapi mempunyai cerita tersendiri. Boleh dikatakan era ini kemuncak bagi kapal tempur sebagai kapal utama tentera-tentera laut sebelum diambil alih oleh kapal pengangkut pesawat. Ketika ini juga berlangsungnya Perang Dunia Pertama yang mengandungi Pertempuran Jutland. Bermulanya abad ke 20, Britain sebagai kuasa laut yang unggul, melancarkan kapal tempur HMS Dreadnought pada tahun 1906. Kapal ini mempunyai propulsi turbin wap membolehkannya mengatasi kelajuan kapal-kapal lain dan dilengkapi meriam dan perisai yang lebih maju. Sekaligus pelancarannya menjadikan kapal-kapal perang lain ketinggalan zaman lantas mencetuskan perlumbaan senjata di antara kuasa-kuasa besar ketika itu. Ini kerana, di zaman itu kekuatan sesebuah negara dan kebolehannya meluaskan pengaruh diukur dari bilangan kapal tempur yang dimiliki. Generasi awal Dreadnought dilengkapi sekitar meriam 12 inci, perisai sekitar 12 inci tebal yang mampu menyerap hentaman dari kapal tempur lain pada jarak 10,000 ela. Kemuncak program Dreadnought ialah dengan terhasilnya kruiser tempur HMS Hood pada tahun 1918. Kapal ini dilengkapi lapan meriam 15 inci dan perisai sehingga 12 inci. Serentak dengan pembangunan Dreadnought, pembinasa bot torpedo dibina untuk melindungi kapal-kapal utama dari ancaman bot-bot torpedo